Penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh sebahagian ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong

SELAYANG BARU: PAS Kawasan Selayang berazam untuk membongkar pelbagai penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh sebahagian ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) serta pihak Umno cawangan dan bahagian yang melibatkan isu-isu kepentingan rakyat setempat.

Mengulas perkara ini, Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata terdapat ahli JKKK yang menyalahgunakan kuasa dan amanah, misalnya dengan menyeleweng wang yang diperolehi melalui kutipan sewaan premis milik JKKK serta kutipan yuran dan lesen pasar malam.

“Kita mempunyai bukti cukup untuk mendedahkan perkara ini. Kita merasa kesal mereka menjadikan penyelewengan ini sebagai sumber kewangan untuk kepentingan diri serta sumber untuk membiayai kegiatan Umno cawangan,” tegasnya.

Menurut sumber, kegiatan penyelewengan ini hanya diketahui oleh sebahagian sahaja ahli JKKK. Manakala perjalanan akaunnya tidak pernah dibentangkan secara bersistem untuk disemak oleh mana-mana pihak. Walaupun pada teorinya JKKK berada di bawah seliaan Penghulu, namun realitinya ia beroperasi mengikut perancangan mereka sendiri tanpa perlu merujuk Penghulu.

Dengan mengambil satu contoh mudah, terdapat ahli JKKK di salah sebuah kampung di Selayang yang mengutip sewaan premis berjumlah ribuan ringgit setiap bulan untuk dirinya sendiri dan hanya membayar sejumlah kecil kepada JKKK sebagai imbuhan ‘kontrak’ pengelolaan premis-premis tersebut.

Dalam kes pasar malam pula, kutipan yuran sewaan tapak dan yuran pembaharuan lesen dikutip dari penjaja tetapi terdapat kes-kes menunjukkan JKKK atau Umno cawangan tidak memperbaharui lesen bagi pihak penjaja dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengeluarkan kontrak pengelolaan pasar malam.

Memburukkan keadaan, terdapat JKKK dan cawangan Umno yang gagal membayar Bayaran Permit Pengurusan kepada MPS sebagai syarat kelulusan pemberian kontrak pengelolaan ini. Akibatnya, MPS kerugian hasil akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Mengulas lanjut, Mohamad juga mendedahkan bahawa tindakan MPS mengeluarkan kontrak pengeloalaan pasar malam kepada parti-parti politik turut menimbulkan persoalan.

“Kita dapat maklumat bahawa daripada 39 pasar malam di seluruh MPS ini, 11 daripadanya diberikan kepada cawangan-cawangan Umno yang sudah pastinya kadaeh ini tidak telus, tidak beretika dan tidak bermoral. Kesannya, hasil kutipan pasar malam hanya dibolot untuk kepentingan sekerat dua pemimpin Umno dan bukan untuk kebajikan penduduk setempat,” tegasnya.

“Teorinya mudah sahaja. Jika satu pasar malam ada 300 petak, JKKK dan Umno atau sesiapa sahaja mendapat kutipan hampir RM1,000 setiap minggu. Setahun bermakna hampir RM48,000. Sedangkan bayaran wajib pada MPS, urusan sampah, kos upah dan lain-lain hanya sekitar RM8,000 sahaja. Selebihnya adalah hak JKKK atau Umno cawangan atau individu yang diberikan kontrak pegelolaan,” jelas beliau.

Menurut beliau, sebagai langkah awal PAS Kawasan akan menulis surat kepada MPS untuk membatalkan kontrak pengelolaan ini terutama yang diberikan kepada cawangan-cawangan Umno serta pada masa yang sama mengkaji semula pemberian kontrak pengelolaan kepada JKKK atau swasta dan individu yang gagal menjelaskan bayaran permit pengurusan dan bayaran lesen penjaja kepada pihak MPS.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selayang, Mokhtar Rozaidi ketika diminta mengulas perkara sama, berkata semua penyelewengan dan salahguna kuasa ini diketahui oleh pihak kakitangan Perlesenan MPS tetapi ia terpaksa didiamkan memandangkan sebahagian besar mereka yang mendapat manfaatnya ialah ahli-ahli majlis yang terdiri dari kalangan pemimpin politik Umno dan komponen BN yang lain.

“Malah ada ketikanya penjaja dan peniaga pasar malam yang ingin berurusan terus dengan MPS untuk menjelaskan bayaran lesen tahunan diugut oleh pihak tertentu untuk dibatalkan ruang tapak pasar malam mereka.

“Ini baru di MPS. Bagaimana kisahnya di majlis-majlis perbandaran lain seluruh Selangor. Saya pasti kerajaan negeri melalui majlis-majlis perbandaran kerugian jutaan ringgit setahun kerana penyelewengan ini,” dedah beliau lagi.

Menurut beliau sudah sampai masanya semua penyelewengan ini dihentikan demi memastikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dilihat komited untuk menghentikan segala bentuk rasuah dan salahguna kuasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: